Masjid
Al-Makmur Sungai Lalang (kini lebih dikenali sebagai Masjid Putih Sungai Lalang) ditubuhkan pada tahun 1942 atas daya usaha tuan imam
yang pertama iaitu Al-Marhum Tuan Haji Ibrahim bin Raof. Memandangkan ketika
itu tiada sebuah masjid pun di kawasan Sungai Lalang, penduduk-penduduk Sungai
Lalang ketika itu terpaksa ke Bedong untuk menunaikan Solat Fardu Jumaat dan
Solat Sunat Hari Raya. Al-Marhum Tuan Haji Ibrahim berasakan perlu adanya
sebuah masjid di Sungai Lalang bagi tujuan tersebut serta bagi menjalankan
aktiviti-aktiviti keagamaan. Oleh yang demikian, setelah ditinjau, beliau dan beberapa
anak kariah mendapati ada sebidang tanah yang sesuai untuk dijadikan tapak
masjid iaitu tanah wakaf peninggalan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (Forest). Setelah
mendapat kelulusan penggunaan tanah serta mendapat restu, sokongan dan
kelulusan dari Pejabat Agama, usaha-usaha bersepadu telah dilaksanakan oleh Al-Marhum
Tuan Haji Ibrahim, berserta anak-anak kariah bermula dari membersihkan tapak,
meratakan tapak dan dalam masa yang sama mengumpul bahan-bahan binaan untuk
pembinaan masjid hasil dari sumbangan anak-anak kariah sendiri. Ekoran dari
itu, maka terbinalah sebuah masjid kayu di tapak ini pada tahun 1942.
Pada ketika itu, di sekitar masjid hanya terdapat beberapa buah kampung sahaja. Kawasan lain penuh dengan ladang-ladang getah. Namun sesuai dengan peredaran masa, ladang-ladang getah telah diterokai semula dan dijadikan kawasan penempatan dan taman-taman perumahan yang menyebabkan penduduk kariah Sungai Lalang semakin bertambah. Hal ini menyebabkan masjid kayu sedia ada ketika itu tidak dapat menampung jumlah jemaah terutamanya ketika Solat Fardu Jumaat dan Solat Sunat Hari Raya berbetulan keadaan fizikal masjid kayu itu pula berada dalam keadaan uzur dan usang akibat di mamah anai-anai. Sehubungan itu, pada tahun 1981 dengan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan, masjid ini telah di naik taraf dengan pembinaan masjid baru seperti yang ada ketika ini. Masjid baru ini kemudiannya dirasmikan oleh KDYMM Tuanku Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Muadzam Shah pada tanggal 18 September 1981.
Sekali lagi, pada masa ini di sekeliling masjid telah bertambah lagi taman-taman perumahan yang diwujudkan bak cendawan yang tumbuh di musim hujan. Hal ini menyebabkan masjid ini tidak dapat menampung jumlah jemaah yang terlalu ramai. Bagi mengatasi masalah ini, bermula dari belasan tahun yang lalu, kariah Sungai Lalang telah dipecahkan kepada beberapa kariah bermula kariah Taman Bandar Baru, kemudian kariah Laguna Merbok dan akhir sekali kariah Zon Kenanga Ambangan Height. Walaupun kariah telah dipecahkan namun jemaah masih lagi ramai dan masjid ini masih tidak dapat menampung jumlah jemaah yang hadir terutama pada Solat Fardu Jumaat dan Solat Sunat Hari Raya. Tambahan pula, dengan kehadiran ratusan pekerja-pekerja kilang dari kawasan Perindustrian Bukit Makmur yang juga termasuk dalam kariah masjid ini.
Pada masa yang sama, para pegawai masjid serta anak-anak kariah turut memerhatikan kedudukan masjid tua ini dengan statusnya sebagai lambang syiar agama Islam di kawasan ini. Masjid ini berada betul-betul di tepi jalan raya utama Sungai Petani ke Alor Setar dan beribu-ribu kenderaan menggunakan jalan ini setiap hari dan beribu-ribu mata jugalah yang memerhatikan masjid ini. Pada setiap hari juga, ramai di antara yang lalu lalang menggunakan jalan ini akan berhenti di masjid ini untuk menunaikan solat sunat dan fardu serta beristirahat. Seolah-olah seperti kedudukan Melaka betul-betul di tengah jalan perdagangan antara Timur dan Barat. Oleh yang demikian, jika beginilah halnya, justeru alangkah baiknya jika lambang syiar Islam yang berada betul-betul di tempat laluan yang sibuk seperti ini diperindahkan dan dicantikkan supaya umat Islam kita berbangga dengan lambang syiar ini sesuai dengan kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi negara.
Atas desakan anak-anak kariah yang inginkan keselesaan ketika bersolat serta mahu meningkat darjat masjid sebagai Pusat Syiar Islam di kawasan ini, pegawai dan AJK secara bersama mengambil keputusan untuk merobohkan masjid ini dan mendirikan sebuah masjid baru di tanah sedia ada ini. Sehubungan dengan itu kutipan dana untuk pembinaan masjid baru telah dilancarkan yang kemudiannya di sokong oleh pemimpin masyarakat setempat untuk memperoleh dana daripada Kerajaan Pusat. Hasil dari usaha murni itu, pihak masjid telah memperoleh dana dari sumbangan dan derma orang ramai termasuklah daripada Kerajaan Pusat melalui YAB Perdana Menteri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM 2 juta.
Pembinaan masjid baru ini akan dijalankan dalam 4 fasa tidak termasuk urusan pentadbirannya. Fasa 1 adalah mengubahsuai bangunan Tabika Kemas berhampiran masjid yang telah tidak digunakan untuk dijadikan ruangan solat sementara untuk solat waktu bagi anak kariah yang berdekatan. Fasa 2 adalah mengubahsuai Surau Al-Firdaus yang terletak di Taman Desa Aman untuk dijadikan ruang Solat Fardu Jumaat sementara. Fasa 3 adalah merobohkan masjid ini dan Fasa 4 pembinaan semula masjid. Pembinaan masjid baru ini agak unik kerana ianya berkonsepkan Masjid Terbuka di mana menjadi tempat persinggahan para musafir untuk bermalam serta berqiamulail di masjid ini. Para musafir yang singgah di masjid ini bukan sahaja dari dalam negara malah ada juga dari luar negara. Di samping itu, selain dari solat fardu dan solat sunat, masjid ini juga turut menjalankan kegiatan-kegiatan keagamaan yang lain seperti pelajaran agama yang dijalankan secara tetap, kursus haji dan umrah, ceramah-ceramah agama yang dijalankan pada setiap hari kebesaran Islam, majlis tahlil dan bacaan Yasin, solat sunat hajat untuk perkara-perkara yang diperlukan dan juga pusat rawatan Islam As-Shifa’.
Masjid ini juga mempunyai satu jawatankuasa ad hoc yang terdiri dari anak-anak kariah yang prihatin yang dinamakan Unit Amal dan Kebajikan Masjid Al-Makmur Sungai Lalang. Fungsi unit ini adalah membantu pihak masjid dalam menjalankan kegiatan-kegiatan serta gotong royong membersihkan masjid dan kawasan perkuburan. Unit ini juga mengutip dana dari kalangan mereka untuk membantu anak-anak kariah yang memerlukan seperti bantuan pelajaran, bantuan perubatan dan bantuan makanan. Sejak tahun 1942 sehingga kini, masjid ini mempunyai 4 orang imam dan 3 daripadanya telah kembali ke rahmatullah. Di samping itu 4 orang pegawai masjid dan berbelas-belas bekas AJK juga telah kembali ke rahmatullah sejak masjid ini diwujudkan. Semoga pembinaan masjid baru ini berjalan lancar dan dimudahkan segala urusannya agar dapat memberi keselesaan kepada jemaah kelak.